in

PM Singapura tiba untuk lawatan rasmi

Gambar ihsan Bernama

SEPANG, 12 Jun – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong tiba di Malaysia hari ini untuk memulakan lawatan kerja dua hari atas komitmen bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Beliau tiba bersama delegasinya dengan menaiki pesawat komersial dan disambut Ketua Protokol Kementerian Luar, Mohd Aini Atan sejurus tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.50 malam ini.

Hadir sama Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia, Vanu Gopala Menon.

Sejurus tiba, Wong diberi sambutan kawalan kehormatan setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja di bawah pimpinan Kapten Adam Azman, lapor Bernama.

Lawatan Wong adalah atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga lawatan ke luar negara pertamanya sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada 15 Mei lalu.

Wong ditemani isterinya, Loo Tze Lui; Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan dan Menteri Negara bagi Perhubungan, Penerangan dan Kesihatan, Rahayu Mahzam.

Lawatan kerja Wong menekankan komitmen bersama Malaysia dan Singapura dalam mengukuhkan hubungan yang lama terjalin dan sebagai persediaan bagi sesi Pemukiman Tahunan Pemimpin yang akan dianjurkan oleh Malaysia akhir tahun ini.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri Singapura itu dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar untuk membincangkan usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Wong juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof. – nasionalkini.my

PN sokong calon PAS tanding di Sungai Bakap

Peneroka ‘pening’ diesel naik harga