KUALA LUMPUR, 3 Mei- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor meluluskan sebanyak 28 permit penganjuran ceramah dan 25 permit berkempen diluluskan, sempena pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kelulusan itu diberikan untuk penganjuran ceramah dan kempen bermula 27 April lalu sehingga jam 11.59 malam 10 Mei ini.
“Sejak 27 Mei sehingga hari ini juga sebanyak tiga laporan polis sudah diterima dan satu kertas siasatan dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 4 (A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Bagi memastikan setiap kempen dan ceramah mematuhi undang-undang yang ditetapkan, IPD Hulu Selangor menempatkan pegawai dan anggota di setiap lokasi penganjuran kempen dan ceramah yang diadakan,” katanya seperti dilapor BH Online.
Setakat ini, dia berkata, kempen diadakan parti politik yang bertanding didapati berlangsung dalam keadaan harmoni, teratur dan terkawal dan pihaknya meminta supaya situasi berkempen secara sihat ini dikekalkan sehingga tempoh akhir berkempen.— nasionalkini.my