Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 23 Julai – Tindakan lelaki warga Indonesia menggunakan kad pengenalan palsu akhirnya memakan diri apabila ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka.
Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika membeli sarapan di bandar Alor Gajah sebelum diserahkan kepada pihaknya.
Malah, dia kemudiannya ditahan semula di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSK) JPN Melaka pada pukul 10 pagi, Khamis lalu kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu.
“Lelaki itu disyaki memiliki MyKad palsu atas nama seorang individu beralamat di Kampung Asin Asin Tandek, Kota Marudu, Sabah.
“Semakan juga mendapati, nombor MyKad itu tidak wujud sebelum dia ditahan polis untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, susulan penahanan itu, pihaknya telah mendapatkan perintah reman selama empat hari sehingga esok untuk melengkapkan siasatan. – nasionalkini.my