in

Penjara 15 bulan tipu jual batu delima

Roni Pito, 47, mengaku bersalah menipu warga emas sebanyak RM54,500 di Mahkamah Majistret Jasin hari ini dengan menjual sebiji batu delima kononnya dapat merawat pelbagai penyakit tahun lalu

Oleh Yusuf Shafie

JASIN, 12 Julai – Seorang warga Indonesia dihukum penjara 15 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Jasin, di sini, hari ini.

Tertuduh, Roni Pito, 47 tahun, menerima hukuman itu selepas mengaku bersalah menipu warga emas sebanyak RM54,500 dengan menjual sebiji batu delima kononnya dapat merawat pelbagai penyakit tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Mohd Firdaus Salleh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati memperdayakan Talib Dahlan @ Jaslan, 76, iaitu dengan curang mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM54,500 kepadanya.

Ia sebagai bayaran pembelian sebji batu delima yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tunai itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan di Bandar Jasin, di sini, pada 5 Oktober 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media pada 13 Oktober tahun lalu melaporkan sepasang suami isteri warga emas rugi RM54,500 apabila terpedaya dengan taktik sekumpulan lelaki menjual batu delima sakti yang didakwa bernilai tinggi dan mampu mengubati pelbagai jenis penyakit.- nasionalkini.my.

Jimat belanja hingga 30 peratus di Jualan Ehsan Rahmah

SPRM tahan bekas pegawai khas menteri