Oleh: Mohammad Ishak
KUALA TERENGGANU,20 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah membuka kertas siasatan berhubung politik wang melibatkan ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU15) yang menyebabkan mahkamah membatalkan kemenangan calon PAS di kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang menunggu nota keterangan mahkamah berhubung keputusan berkenaan.
“Kita telah memulakan siasatan namun berdepan kelewatan berikutan nota keterangan itu daripada mahkamah.
“Pihak kami tidak boleh membuat pertuduhan berdasarkan keputusan (petisyen mahkamah) begitu sahaja sebaliknya perlu memanggil saksi, rakam percakapan dan (melaksanakan) segala proses penyiasatan,” katanya di sini hari ini.
27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Keputusan dibuat Hakim Mohd Firuz selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen itu, Mohd Zubir Embong.
Calon PAS, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zubir Embong.
Bagaimanapun, Ahmad Amzad tidak didakwa atas kesalahan rasuah dan membolehkan beliau kembali bertanding dalam PRK. – nasionalkini.my