Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 20 Julai – Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Durian Daun di sini ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah tersebut, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, mangsa yang berusia 13 tahun ditemukan dalam keadaan kepalanya berlumuran darah di atas jalan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.31 petang .
“Kita menerima panggilan kecemasan mengatakan terdapat seorang pelajar perempuan sekolah itu dipercayai terjatuh dari kelas yang terletak di tingkat dua bangunan sekolah.
“Kejadian dipercayai berlaku di tingkat dua kerana terdapat kasut simati ditinggalkan di kaki lima tingkat berkenaan, namun setakat ini tiada saksi bebas yang melihat sama ada mangsa terjun atau terjatuh,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.
Tambahnya, motif kejadian masih lagi dalam siasatan dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sementara itu, tinjauan nasionalkini di sekolah berkenaan petang tadi mendapati orang ramai berkumpul di belakang sekolah untuk mengetahui punca kejadian.
Kejadian itu turut ditularkan di sosial media.- nasionalkini.my.