Oleh AD Zafir
KUANTAN, 4 Jun – Seorang suri rumah menanggung kerugian RM110,556 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, berkata wanita berusia 36 tahun itu tertarik selepas melihat iklan tawaran kerja dalam aplikasi Telegram pada 30 Mei lalu.
Katanya, mangsa perlu membuat tanda suka dan berkongsi video di Youtube diletakkan dalam aplikasi terbabit.
“Mangsa ditawarkan 15 hingga 20 peratus keuntungan melalui lapan tugasan diberikan suspek.
“Dalam pada itu, mangsa diminta melakukan 21 pindahan wang kepada lima akaun bank bagi menjelaskan bayaran diminta suspek,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Yahaya berkata, mangsa menggunakan wang simpanan sendiri selain membuat pinjaman daripada rakannya untuk semua transaksi yang berjumlah RM110,556.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – nasionalkini.my