Oleh AD Zafir
KUANTAN, 9 Jun – Seorang penyelia projek kerugian sehingga RM95,200 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan urusan jual beli kenderaan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, berkata, mangsa dilaporkan tertarik dengan tawaran membeli kereta Honda Jazz pada harga RM21,600.
Menurutnya, iklan tersebut tersiar menerusi Facebook miliknya, 11 Mei lalu.
“Mangsa telah membuat 17 transaksi kepada tiga akaun berbeza dengan jumlah RM95,200 selepas suspek memberikan pelbagai alasan untuk menjual kenderaan terbabit.
“Siasatan mendapti sumber kewangan mangsa adalah daripada tuntutan insurans kemalangan dan simpanan mangsa,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu dalam kes berasingan, Yahaya berkata, seorang lagi mangsa merupakan pekerja swasta berusia 44 tahun.
Jelasnya, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM93,900 akibat terpedaya dengan panggilan Phone Scam, 8 jun lalu.
“Mangsa menerima panggilan telefon dari syarikat penghantaran barang yang memaklumkan terdapat parcel di atas nama mangsa telah disekat.
“Panggilan kemudiannya disambungkan kepada pihak polis dan dimaklumkan mangsa terbabit dengan sindiket pengubahan wang haram.
“Mangsa juga dikatakan memiliki waran tangkap di Ipoh, Perak sehingga mangsa berasa takut dan diarahkan memindahkan wang kepada tiga akaun berbeza untuk tujuan siasatan,” katanya.
Tambah beliau, susulan itu, mangsa berasa curiga dan ditipu selepas wang simpanannya lesap sebanyak RM93,900.
Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – nasionalkini.my