in

Polis Pahang kenal pasti pihak jual darjah kebesaran negeri

Gambar hiasan

KUANTAN, 10 Ogos – Polis Pahang sudah mengenal pasti pihak dipercayai terlibat dalam kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman bagaimanapun berkata setakat ini belum ada tangkapan dibuat pihaknya berkait dengan kes itu.

Katanya, pihak polis masih dalam proses melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Julai lalu, pihak polis menerima laporan kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang yang dijual pada harga melebihi RM1,000 setiap set.

“Kita sudah mengenal pasti platform dalam talian yang mana paling banyak menjalankan kegiatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelepasan ‘Flag-off’ Bantuan Sumber Manusia (BSM) Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri ke 15 (DUN 15) di Padang Kawad Kompleks Logistik Alor Akar, dekat sini, hari ini.

Bagi kes tersebut, katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

Sabit kesalahan mana-mana individu yang terbabit dalam kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.- nasionalkini.my

Ramasamy umum keluar DAP

Elaun nelayan naik bila ekonomi kukuh