BANGI, 4 Jun – Negara perlu membuat persediaan awal melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis supaya masa hadapan Malaysia dapat menjadi lebih baik.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata ini kerana pemimpin yang ada sekarang ini tidak akan ada lagi pada masa akan datang.
Oleh itu katanya, jika tiada platform untuk mendidik bakal pemimpin, kesalahan perlu diletakkan sepenuhnya kepada pemimpin ada yang masa kini.
“Sebab itu saya akan usulkan supaya Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dikembalikan dengan lebih sempurna dan kurikulum menjurus kepada pembinaan negara bangsa dan bukan politik kepartian.
“Sebab saya terasa terpanggil kerana pemimpin yang ada sekarang ini akan tiada satu hari nanti. Jadi sekiranya tiada platform untuk mendidik pemimpin masa hadapan, kesalahan mesti diletakkan diatas bahu kami,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog awam (townhall) Ikon Madani sempena Jelajah Ikon Madani Peringkat Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
Kira-kira 2,000 mahasiswa dari lapan institusi pengajian tinggi (IPT) hadir pada program berkonsepkan bual bicara yang mengfokuskan kepada perkongsian ilmu daripada tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang dalam usaha melahirkan graduan yang mempunyai mentality kelas pertama.-nasionalkini.my