in

Polis siasat pemilik Facebook hina PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Polis menjalankan siasatan terhadap seorang pemilik dan pengendali akaun Facebook kerana disyaki mengeluarkan kenyataan menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan terhadap pemilik akaun Facebook itu dibuat susulan hantaran videonya pada 18 Ogos lalu.

“Pengendali akaun Facebook itu telah dipanggil ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk diambil keterangan semalam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mohd Shuhaily berkata, kes terbabit masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat sehingga mengganggu proses siasatan.

Media hari ini melaporkan seorang aktivis masyarakat mempersoalkan tindakan Anwar mengislamkan seorang saudara baharu di Klang, Selangor baru-baru ini dan tindakannya itu menyebabkan dia dipanggil polis untuk dirakam keterangan.

Sebelum ini, tular rakaman video Anwar mengajar seorang lelaki mengucap dua kalimah syahadah yang kemudiannya mengundang pelbagai reaksi.- nasionalkini.my

Penjawat awam boleh pakai batik tiap hari

Skuad negara layak ke separuh akhir Piala AFF B-23