in

Skuad negara layak ke separuh akhir Piala AFF B-23

Gambar oleh FAM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala AFF B-23 apabila menewaskan Timor Leste 3-1 di Stadium Rayong, Thailand, malam tadi.

Kemenangan kedua berturut-turut yang dilakar selepas menewaskan Indonesia 2-1 dalam aksi pembukaan, Jumaat lalu menyaksikan skuad kendalian E Elavarasan mara selaku juara Kumpulan B dengan mengumpul enam mata.

Harimau Malaya B-23 bagaimanapun berdepan tugas getir untuk mencapai sasaran ke final apabila perlu melepasi cabaran juara Kumpulan C yang juga juara bertahan, Vietnam di separuh akhir.

Dalam aksi malam tadi, skuad negara bermula garang apabila mendahului menerusi jaringan Alif Ikmalrizal Anuar seawal minit kelima sebelum Aliff Izwan Yuslan meledak gol kedua, lapan minit kemudian.

Kealpaan benteng pertahanan Harimau Malaya B-23 membolehkan Timor Leste merapatkan kedudukan pada minit ke-41 hasil rembatan jarak dekat Olagar Xavier.

Alif Ikmalrizal bagaimanapun mengesahkan kemenangan buat skuad negara apabila meledak gol ketiga Harimau Malaya B-23 dan yang kedua peribadinya pada perlawanan itu pada minit ke-64.- nasionalkini.my

Polis siasat pemilik Facebook hina PM

Gajah tertua di dunia mati di ladang teh