KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Penjawat awam kini dibenarkan memakai pakaian batik pada setiap hari waktu bekerja dan tidak hanya pada hari Khamis seperti sebelum ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata keputusan itu dibuat mengambil kira kesesuaian pakaian bekerja untuk penjawat awam dengan realiti iklim tempatan.
“Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju supaya semua penjawat awam diberi kebenaran dan kelonggaran memakai pakaian batik pada waktu bekerja, tidak hanya pada hari Khamis seperti sebelum ini.
“Saya sudah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) Energy Efficiency and Conservation Act (EECA) dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Ogos 2023,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Nik Nazmi berkata, turut dibangkitkan dalam pembentangan itu adalah mengenai Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2014: Garis Panduan Kaedah Penjimatan Tenaga di Pejabat dan Premis Kerajaan yang antara lain menetapkan supaya suhu di bangunan dan premis kerajaan diselaraskan kepada 24°C hingga 25°C.
Katanya, keputusan dicapai itu mengambil kira iklim di negara ini dan juga komitmen kerajaan untuk mencapai aspirasi pembebasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal tahun 2050 dengan mengurangkan jejak karbon daripada amalan penggunaan tenaga elektrik.- nasionalkini.my