in

SPRM siasat anak bekas PM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Januari – Seorang anak bekas Perdana Menteri sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai berhubung aktiviti perniagaannya pada akhir tahun 1990an.

Siasatan itu difahamkan terhadap syarikat kepunyaan individu berkenaan yang didakwa membeli sebuah subsidiari syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

BH Online hari ini dimaklumkan SPRM memanggil individu berkenaan untuk mengisytiharkan semua harta miliknya sama ada di dalam atau di luar negara.

Sumber memberitahu, anak bekas Perdana Menteri itu dipanggil sekali lagi ke ibu pejabat SPRM untuk diserahkan satu notis pengisytiharan harta.

“Siasatan menghendakinya mengisytiharkan semua harta miliknya sama ada di dalam atau di luar negara secara bertulis,” kata sumber itu.

Bulan lalu, SPRM sudah pun memanggil individu itu untuk dirakam percakapan berhubung dakwaan salah laku rasuah serta penyelewengan.

BH Online setakat ini masih berusaha untuk mendapatkan pengesahan daripada pegawai kanan SPRM berhubung siasatan itu.

Dalam pada itu, sumber berkata siasatan ketika ini dibuat berdasarkan dakwaan syarikat kepunyaan individu berkenaan membeli sebuah subsidiari GLC selaras dasar penswastaan pada waktu itu.

Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, dalam tempoh tertentu, syarikat berkenaan dijual kepada sebuah syarikat gergasi GLC dengan keuntungan ratusan juta ringgit.– nasionalkini.my

Sukar angkut kelapa sawit bila hujan

Pemain Harimau Malaya perlu fokus lebih 100 peratus