in

Pensyarah rugi lebih setengah juta mangsa panggilan palsu

20230527 153035
Gambar hiasan

TANJUNG MALIM, 14 Ogos – Seorang pensyarah wanita kerugian lebih setengah juta ringgit selepas terpedaya dengan sindiket panggilan telefon palsu, di sini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata mangsa berusia 38 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa dirinya pekerja syarikat penghantaran barang pada 3 Ogos lalu, kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, suspek mendakwa mangsa mempunyai dua bungkusan di pejabat syarikat terbabit yang mengandungi lima kad pengenalan, lima pasport dan lima kad ATM milik orang lain.

“Panggilan telefon terbabit kemudian kononnya disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bukit Aman bagi tujuan semakan dan laporan polis.

“Suspek yang menyamar sebagai polis mendakwa mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram dan pemerdagamgan manusia.

“Notis waran tangkap dikatakan sudah dikeluarkan terhadap mangsa dan wanita itu diarah membuat pindahan wang kononnya bagi semakan sama ada terbabit atau tidak dalam kes terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.

Mohd Hasni berkata, siasatan mendapati dari tempoh mangsa dihubungi sehingga kelmarin, wanita itu melakukan transaksi wang sebanyak 25 kali ke atas 16 pemilik akaun berlainan.

Katanya, mangsa mula menyedari ditipu selepas ditegur oleh suaminya kerana berubah sikap dan kerap memegang telefon bimbit.

“Mangsa juga ingin meminjam wang daripada suaminya untuk membayar suspek dan setakat ini sudah kerugian RM537,659.89,” katanya.

Mohd Hasni berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan menasihatkan orang ramai berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan panggilan palsu.- nasionalkini.my

jais

5,711 pendakwah terima tauliah mengajar agama daripada JAIS

Aminuddin kekal MB Negeri Sembilan