Adam Aariz
KUALA LUMPUR, 19 Jun – PKR menafikan ada menawarkan bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin jawatan timbalan presiden lantikan, susulan tular tangkap layar satu surat rasmi parti.
Terdahulu, tular surat yang mendakwa Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail menawarkan jawatan berkenaan kepada bekas menteri kesihatan itu.
“Mana ada lantikan timbalan presiden. Periksa dahulu Perlembagaan parti. Timbalan Presiden jawatan yang dipertandingkan, bukannya seperti naib presiden yang ada lantikan,” tegas Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung.
Surat berkenaan yang menggunakan kepala surat PKR tular di media sosial sejak awal hari ini, sekali gus menghangatkan lagi cakap-cakap berhubung masa depan bekas Ahli Parlimen Rembau itu selepas dipecat UMNO.

Bagaimanapun, Khairy menerusi IG story memuat naik gambarnya bertemu dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun tidak disertakan sebarang keterangan.
Hantaran itu menguatkan spekulasi penyertaan Khairy ke Bersatu untuk menjadi calon pada pilihan raya negeri (PRN) sama ada di Selangor atau Negeri Sembilan
Pada 17 Mei lalu, Muhyiddin secara terbuka menawarkan Khairy jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kerana percaya pemimpin muda itu mampu memberi sumbangan kepada parti.
Januari lalu, UMNO memecat bekas Ahli Parlimen Rembau itu atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu PRU15. – nasionalkini.my