in

Pasangan kekasih pukul anak sampai mati direman

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pagi tadi bagi tujuan permohonan reman

Oleh Yusuf Shafie

AYER KEROH, 7 Julai – Sepasang kekasih direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh anak lelaki kekasihnya berusia tiga tahun di Cheng, di sini awal pagi semalam.

Perintah reman sehingga 13 Julai itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana bunuh dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, wanita berusia 24 tahun dan kekasihnya yang berusia 25 tahun, tiba pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh pada jam 8.30 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit dalam kenyataan berkata, ibu kandung mangsa menghantar mangsa ke rumah teman lelakinya di Cheng pada jam 5.30 pagi kerana perlu keluar bekerja.

Bagaimanapun, sekitar jam 6.20 pagi, ibu tunggal itu mendapat penggilan telefon daripada kekasihnya memberitahu anaknya tidak sedarkan diri akibat terjatuh.

“Sebaik tiba di Zon Merah Hospital Melaka pada jam 6.50 pagi, pegawai perubatan cuba memberi bantuan pernafasan selama 1 jam 10 minit namun mangsa tidak menunjukkan sebarang reaksi.

“Kanak-kanak lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 9.15 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya hasil bedah siasat kemudian mendapati kecederaan di kepala dan badan sebelum pasangan kekasih itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 302 KK. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Ringgit dibuka rendah

Kafe Susu Masam bukan sekadar nama