KUALA LUMPUR, 27 Jun – Jumlah kes demam denggi meningkat 7.7 peratus kepada 2,808 kes pada Minggu Epidemiologi ke-24 (ME24) iaitu bagi tempoh 11 hingga 17 Jun berbanding 2,608 kes dilaporkan minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Radzi Abu Hassan, dalam kenyataan berkata dua kematian akibat komplikasi demam denggi turut dilaporkan pada ME24.
Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi dilaporkan sehingga ME24 meningkat 149.6 peratus kepada 54,139 kes berbanding 21,688 kes bagi tempoh sama pada 2022.
“Sejumlah 39 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 15 kematian bagi tempoh sama pada 2022,” katanya lapor Bernama.
Radzi berkata, bilangan lokaliti ‘hotspot’ kes demam denggi pada ME24 meningkat kepada 110 lokaliti berbanding 95 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.
Lokaliti ‘hotspot’ tersebut adalah 84 di Selangor, 14 di Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing empat di Kedah dan Pulau Pinang, tiga di Sabah serta satu di Perlis.
Mengenai survelan chikungunya, Radzi berkata dua kes direkodkan pada ME24 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 137.
Beliau berkata, bagi survelan zika pula, sebanyak 1,381 sampel darah dan 69 sampel urin dijalankan saringan dan hasil semuanya adalah negatif.
“Pemantauan di Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan mendapati jumlah kes demam denggi adalah tinggi dan berpotensi untuk terus meningkat jika tiada tindakan pencegahan dilakukan oleh semua pihak termasuk masyarakat.
“Sebagai langkah proaktif, periksa setiap bekas di dalam dan luar rumah serta pastikan tiada takungan air untuk nyamuk aedes membiak,” katanya. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN