in

Persatuan Kebajikan Artis Legenda Malaysia sedia bantu ahli

IMG 20230423 WA0049
Mamu atau Abass Abu Bakar (berdiri) mahu menolong rakan artis menerusi persatuan

Oleh Hajidah Miharbi

KENAPA perlu ditubuhkan persatuan lagi, sedangkan sudah ada beberapa persatuan yang prihatin dengan nasib anak-anak seni tempatan. 

Itulah soalan yang diajukan kepada Presiden Persatuan Kebajikan Artis Legenda Malaysia (LEGENDA), Abass Abu Bakar, sewaktu bertemu dengannya dalam satu majlis sebelum Aidilfitri, baru-baru ini.

Sekarang ini antara persatuan sedia ada yang mewakili penggiat seni masa kini antaranya, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) dan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT).

Abass, 71,  yang senang membahasakan diri sebagai Mamu berkata, penubuhan LEGENDA yang dirancang sejak tahun lalu tidak bermaksud untuk memporak-perandakan persatuan sedia ada.

“Penubuhan persatuan ini bukan kerana bergaduh dengan mana-mana persatuan sebelum ini. Antara kami tiada masalah dan setiap persatuan pasti ada masalah tersendiri.

IMG 20230423 WA0047
Antara ahli Persatuan Kebajikan Artis Legenda Malaysia yang menerima sumbangan, baru-baru ini.

“Ini persatuan terakhir yang Mamu terlibat. Sebenarnya dah tak nak tapi kawan-kawan bincang tahun lepas, kata kita buat satu persatuan khas untuk veteran saja.

“Kalau boleh kita tak nak gaduh-gaduh la, buat elok-elok. Mamu dengan ahli persatuan lain macam adik-beradik sebab Mamu pun dah sertai banyak persatuan dan ini yang terakhir, selepas mamu sertai Persatuan Seniman.

“Tahun lepas baru tubuh LEGENDA dan dilancarkan tahun ini. Ini kira projek pertama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dah bertahun dengan jabatan ini,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan kepada ahli persatuan LEGENDA.

Jelas Mamu, keahlian persatuan LEGENDA terbuka kepada penggiat seni seperti  pelakon, penyanyi, pelawak, pemuzik atau artis yang berkecimpung dalam bidang kesenian yang berumur 50 tahun ke atas.

“Ahli untuk persatuan ini mesti berumur 50 tahun ke atas. Sekarang ahli baru ada 30 orang, dan yang nak menyertai memang ramai. Yuran pendaftaran hanya RM100 dan RM30 bagi yuran tahunan. 

“Ahli persatuan ini bebas untuk menjadi ahli persatuan lain sebab mereka bukan Ahli Jawatankuasa (AJK). Kita tak akan marah ahli nak masuk persatuan mana sekali pun. Sebab setiap persatuan banyak bagi bantuan pada ahli,” katanya yang bersikap terbuka itu.

Antara ahli LEGENDA ialah Norlia Ghani, Delimawati, Shahrudin Thamby, S.Rohani, Aznah Hamid, Rehan Yakob dan Tinie Dahlan.

Lagipun katanya, persatuan ingin fokus kepada kebajikan ahli di mana artis berusia 50 tahun ke atas sering dipinggirkan dan kurang mendapat peluang di TV dan filem berbanding dengan yang muda. – NasionalKini.

IMG 20230423 WA0051

Wanita muda bahagia bersama dua suami sentiasa berlaku adil

pahang 1

4 sekeluarga pengsan secara tiba-tiba di Plaza Tol Bentong