Oleh : Adnan Mohamad
LAZIMNYA kaum lelaki yang beristeri lebih daripada satu orang ataupun dua orang dan tiga orang sekiranya mereka mampu melaksanakan tanggung jawab yang sempurna sebagai seorang suami.
Namun apa yang terjadi di Brazil agak pelik juga sehingga menimbulkan kontroversi dalam kalangan orang ramai apabila seorang wanita cantik mempunyai dua suami dalam satu masa.
Ia bukan setakat itu sahaja malah wanita itu mengaku sentiasa hidup bahagia disamping suami-suami yang tercinta itu.
Larry Ingrid, 27, dengan panggilan nama mesra Larissa juga mengaku sentiasa memberi layanan yang adil terhadap dua suaminya.
Seperti dipetik berita dari Eva.vn baru-baru ini, antara kedua suami Larissa ialah Italo Silva, 25, dan Joao Victor, 18, dan kedua lelaki itu tidak pernah cemburu pada isteri mereka.

Larissa berkata, gaya hidupnya mempunyai dua suami adalah dapat membantu dirinya dalam menyelesaikan pelbagai masalah termasuk urusan pekerjaannya.
Selanjutnya Larissa menceritakan kisah cinta dengan Italo bermula kira-kira lapan tahun lalu sebelum mereka memutuskan untuk berkahwin sejak lima tahun lepas.
Selepas itu, wanita terbabit terpikat pula pada Joao yang merupakan jiran tetangganya.
“Saya mengenali Joao semasa dia berumur sembilan tahun lagi dan dia tinggal berhampiran rumah ibu saya sebelum keluarga dia berpindah ke daerah lain.
“Saya sendiri tidak menyangka, selepas berkahwin dengan Italo, tiba-tiba tuhan mempertemukan saya dengan Joao semula membuat hati saya terpikat dan jatuh cinta pada Joao,” katanya.
Setelah hubungan mereka bertambah mesra selama lapan bulan akhirnya Joao bersetuju untuk berkahwin dengan Larissa walaupun wanita itu sudah pun bersuami.
“Saya sanggup menerima Larissa sebagai isteri saya kerana saya sendiri tidak dapat hidup tanpa dia apa tah lagi, saya sudah mencintai dirinya sejak dari kecil lagi,” kata Joao.
Perkahwinan Larissa dengan Joao mendapat kencaman serta kritikan dari masyarakat namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa di negara itu.
Kini mereka bertiga bersama dua anak hidup bahagia tanpa bergaduh dalam sebuah rumah dan Larissa sentiasa berlaku adil dalam pelbagai aspek termasuk melakukan hubungan intim pada kedua suaminya.
Hasil perkahwinan mereka, Larissa mendapat seorang anak lelaki dari Italo dan seorang perempuan dari Joao. – nasionalkini.my