KUANTAN, 17 Mei – Kali terakhir artis terkenal kelahiran Singapura, Datuk Ramli Sarip beraksi dalam konsert di Kuantan, Pahang adalah pada April 2014.
Itu pun beliau hanya membuat penampilan istimewa pada siri konsert eksklusif bersama seorang lagi bintang terkenal, Datuk Jamal Abdilah.
Dan selepas kira-kira sembilan tahun berlalu, akhirnya impian peminat Papa Rock melihat sendiri ikon seni itu beraksi secara ‘live’ akan berakhir Ogos ini.
Semuanya hasil kerjasama dan usaha ADA Events Asia, Daniel Albert Yap serta pihak pengurusan Datuk Ramli Sarip, Rasa Karya Sdn Bhd.
Menjelang persembahan yang dijadualkan pada 5 Ogos nanti, Daniel berharap semua peminat Papa Rock tidak melepaskan peluang keemasan itu.
“Beliau adalah seorang artis yang sangat konsisten, sejak dulu hingga kini, genre muziknya tidak pernah berubah dan saya percaya ramai yang membesar dengan lagu dendangan Ramli.
“Kita memang jangka sambutan hangat daripada peminat Papa Rock yang bukan sahaja dari Pahang, tapi mungkin ada peminat dari negeri jiran dan negara jiran akan memenuhi ruang stadium itu nanti,” katanya.
Konsert ‘Blues Untuk Rakyat’ itu akan diadakan di Stadium Tertutup SUKPA, dekat Indera Mahkota pada 5 Ogos 2023.
Satu sesi sidang media khas berkaitan konsert itu akan diadakan hari Ahad ini di Shahzan Hotel, dekat bandar raya Kuantan.
“Kita juga akan melakukan gimik istimewa pada petang Ahad ini di Teluk Chempedak dan Koffeebilly, sesi ‘meet and greet’ antara Papa Rock dan pengunjung bertuah.
“Ada kejutan khas menanti pengunjung di sana, mungkin ada sesi ‘busking’ bersama kumpulan ‘busker’ di situ,” katanya.
Daniel turut memaklumkan tiket untuk konsert Papa Rock itu sudah boleh dibeli melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my pada harga bermula RM98 hingga RM198.
Selain ADA Events Asia dan Shahzan Hotel, konsert ‘Blues Untuk Rakyat’ juga turut ditaja bersama AH7 dan Koffeebilly.
“Kita juga berterima kasih kepada pihak nasionalkini.my kerana sudi menjadi rakan media kami untuk konsert yang bakal mencatatkan sejarah tersendiri ini,” katanya. – nasionalkini.my