ROMA, 17 Mei – Polis di selatan Itali hari ini merampas dadah kokain tulen seberat 2,700 kilogram (kg) yang disembunyikan dalam dua kontena sejuk mengandungi kotak berisi pisang, yang dihantar dari Ecuador.
Polis Guardia di Finanza, dalam satu kenyataan berkata, rampasan yang ditemukan di pelabuhan Gioia Tauro di Calabria itu dianggarkan bernilai lebih 800 juta euro (RM3.9 bilion).
Kontena itu dipercayai dihantar dari Guayaquil di Ecuador, dengan destinasi akhirnya adalah Armenia, menerusi pelabuhan Batumi di Georgia, di Laut Hitam.
Menurut polis, dadah itu ditemukan dalam kontena sebesar 12 meter menggunakan pengimbas khusus, dan dibantu oleh anjing pengesan bernama Joel, dipetik dari Reuters.
Katanya, pihak berkuasa turut menemukan tambahan 600kg kokain dalam kontena buah dari Ecuador sejak beberapa hari lalu, yang dihantar menerusi Gioia Tauro.
Semua barangan itu dihantar dengan destinasi akhir yang berbeza-beza, termasuk Itali, Croatia, Greece dan Georgia.
Calabria adalah wilayah yang menempatkan kumpulan jenayah ‘Ndrangheta, yang menggantikan Cosa Nostra sebagai kumpulan mafia paling berkuasa di Itali dan memainkan peranan utama dalam penjualan dadah. – nasionalkini.my