in

Transisi Ramli Sarip terlalu istimewa

Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad berkongsi pengalaman sepanjang mengenali Datuk Ramli Sarip

PELUANG bertemu dan berbual secara santai bersama ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad bukan selalu datang.

Bertuah juga apabila dapat berbicara secara lebih dekat dan memahami secara ringkas citarasa muzik lagenda bola sepak dari seberang Tambak Johor ini.

Fandi tidak langsung menyembunyikan rasa kagum dan hormat terhadap Datuk Ramli Sarip, yang dikenalinya sejak tahun 1980-an.

“Kalau kita ikuti perjalanan karier Datuk Ramli, kita akan faham dan dapat lihat transisi muzik dan lirik yang beliau hasilkan,” katanya ketika ditemui di pejabat OUM, dekat Jalan Tun Ismail, Kuantan, baru-baru ini.

Beliau yang sentiasa sibuk dengan jadual padat latihan skuad Tok Gajah, bersetuju untuk berjumpa selepas ‘dipujuk’ oleh ‘big boss’ kami, Abdul Jamil Mohamed.

“Boleh (jumpa), tapi kita bercakap pasal muzik saja, jangan tanya apa-apa pasal bola sepak,” ujarnya memberi syarat untuk sesi temubual berkenaan.

Lagenda rock, Datuk Ramli Sarip akan mengadakan konsert ‘Blues Untuk Rakyat’ pada 5 Ogos ini di Stadium Tertutup SUKPA Indera Mahkota

Dan pertemuan kira-kira sejam itu, ternyata Fandi bijak mengawal keadaan supaya temubual berkenaan tidak ‘tergelincir’ daripada matlamat asal.

“Saya mengenali beliau (Ramli Sarip) sekitar 40 tahun lalu, kami biasa lepak di Arab Street, Singapura.

“Masa itu saya tidak kenal rapat, tapi cukup meminati lagu dihasilkan beliau.

“Hubungan kami menjadi lebih akrab selepas saya berhijrah ke Kuala Lumpur beberapa tahun kemudian,” katanya.

Mengimbas kembali perjalanan hidupnya yang pernah berkelana ke Eropah, Indonesia dan Thailand kerana bola sepak, Fandi memberitahu Ramli pernah menumpang di rumahnya setiap kali artis dikenali dengan gelaran ‘Papa Rock’ berkunjung ke ibu negara.

“Ketika itu saya bersama pasukan Kuala Lumpur, jadi bila beliau ada konsert di Kuala Lumpur, rumah saya jadi persinggahan beliau dan ahli kumpulannya,” katanya.

Ditanya mengenai penganjuran konsert ‘Blues Untuk Rakyat’ yang akan berlangsung pada 5 Ogos ini di Stadium Tertutup SUKPA, Indera Mahkota, Fandi berharap peminat ikon muzik rock dan blues itu tidak melepaskan peluang.

“Saya percaya Datuk Ramli mempunyai ramai peminat yang membesar dengan lagu-lagu dihasilkannya.

“Jangan lepaskan peluang dan datanglah beramai-ramai untuk berhibur dan menghayati muzik dihasilkan dengan ikhlas oleh Datuk Ramli Sarip,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan, ruang hiburan melalui muzik dan lirik oleh Ramli juga berbeza serta mempunyai keunikan tersendiri.

“Lagu dan muzik dihasilkan menunjukkan kematangan Datuk Ramli itu sendiri, ditulis dan dihasilkan dari lubuk hati berdasarkan perjalanan pengalaman beliau sepanjang bergelar anak seni,” ujarnya.

Fandi juga bercadang untuk menonton konsert itu jika jadual perlawanan Sri Pahang FC mengizinkan.

“Kalau boleh saya pun nak pergi tengok konsert itu nanti, saya tengok dulu jadual (perlawanan), kalau tidak ada halangan, sudah tentu saya akan hadir memberi sokongan kepada beliau,” katanya.

Bagi peminat Datuk Ramli Sarip, dapatkan tiket konsert ‘Blues Untuk Rakyat’ dengan melayari laman web http://www.ticket2u.com.my segera sebelum kehabisan. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Langkah drastik tangani isu ekonomi, kejatuhan nilai ringgit diumum esok

Lepasan SPM jadi ‘duta’ Melaka