in ,

Papa Rock mahu imbas nostalgia beraksi di Darul Makmur

WhatsApp Image 2023 05 22 at 17.59.06
Datuk Ramli Sarip

KUANTAN, 22 Mei – ”Ini bukan konsert untuk saya, tapi untuk semua peminat sejak zaman Sweet Charity yang terus menyokong saya dalam bidang seni,”

Demikian luahan hati Datuk Ramli Sarip atau lebih terkenal dengan panggilan Papa Rock.

Beliau mengakui sering terkenang semangat peminat di Pahang yang begitu fanatik ketika Sweet Charity mengadakan persembahan di negeri ini satu ketika dulu.

“Kalau orang tanya kenapa (pilih) Pahang, saya tidak boleh memberikan jawapan yang tepat, cuma apa yang saya ingat, di sinilah ramai peminat yang begitu menghargai saya dan Sweet Charity.

“Begitu juga dengan ‘scene’ muzik di Pahang, rasanya sudah lama tidak ada konsert berskala besar di negeri ini, jadi apabila ADA Events Asia menawarkan diri untuk menjadi penganjur, apa salahnya kami ambil peluang diberikan.

“Saya juga ramai kenalan di Pahang dan mereka begitu bersemangat dan terus menyokong perjalanan karier saya selepas Sweet Charity ‘berpisah’ membawa haluan masing-masing,” katanya dalam sidang media sempena konsert ‘Blues Untuk Rakyat’ di Shahzan Hotel, semalam.

WhatsApp Image 2023 05 22 at 17.59.05
Datuk Ramli Sarip dalam sidang media sempena konsert ‘Blues Untuk Rakyat’ di Shahzan Hotel, semalam

Selain ADA Events Asia, konsert ‘Blues Untuk Rakyat’ turut mendapat tajaan bersama oleh AH7 Design, Koffeebilly dan Shahzan Hotel.

Konsert yang akan berlangsung pada 5 Ogos ini bakal menampilkan barisan pemuzik handalan yang bersama Papa Rock sejak puluhan tahun lalu.

Ditanya mengenai senarai lagu bakal dipersembahkan pada konsert itu nanti, Ramli berkata, terdapat antara 20 hingga 22 lagu sedang diteliti oleh beliau untuk didendangkan.

“Sudah pasti pemilihan lagu dibuat untuk mengembalikan suasana nostalgia ketika saya pernah beraksi di sini, dengan siri konsert di kawasan FELDA sekitar tahun 1980-an dan lagu lain yang membesar bersama peminat saya.

“Kita juga tidak akan kecewakan peminat yang hadir kerana mereka mungkin sudah ada dalam kepala lagu apa yang (mereka) nak dengar.

“Macam lagu ‘Jangan Tunggu Lama-lama’ dan ‘Kamelia’, itu memang ada dalam senarai,” katanya lagi.

‘Blues Untuk Rakyat’ diangkat sebagai tema utama konsert yang akan berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA Indera Mahkota kerana ia bagi mendekatkan peminat dengan Papa Rock itu sendiri.

“Konsepnya adalah untuk bersama-sama dengan penonton atau peminat, jadi kita ingin mendekati dan menyelami rasa hati mereka melalui lagu dipersembahkan kelak.

“Biarlah ia berlangsung dengan bebas, tanpa terikat dengan peraturan tapi selamat untuk semua yang datang pada malam itu nanti,” katanya.

Konsert itu dijangka berlangsung antara dua jam hingga dua jam setengah dan menyediakan kira-kira 3,000 tempat duduk untuk peminat.

Ramli turut berharap peminatnya dapat membawa ibu bapa mereka bersama mengimbau kembali zaman kegemilangan lagu kegemaran mereka.

“Kalau nak dikira sudah lebih 40 tahun saya aktif dalam dunia seni, maknanya kebanyakan peminat sudah berkerjaya dan ada keluarga masing-masing.

“Jadi bolehlah bawa ibu bapa atau anak mereka untuk mengimbas kembali kenangan lama.

“Kita berkarya untuk memastikan kelangsungan kenangan itu, segar dalam ingatan,” katanya lagi.

Pengurus ADA Events Asia, Daniel Albert Yap, berharap peminat Ramli Sarip tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tiket memandangkan hanya 3,000 tiket sahaja ditawarkan.

“Dapatkan segera melalui www.ticket2u.com.my pada harga bermula RM98 hingga RM198.

“Kami percaya ramai peminat Papa Rock tidak sabar untuk menyaksikan ikon muzik beraksi selepas sekian lama tidak mengadakan konsert besar-besaran seperti ini,” katanya. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 05 22 at 18.41.28

Kendalikan DAX secara haram di Malaysia, Huobi Global Limited diarah henti operasi

WhatsApp Image 2023 05 22 at 7.04.02 PM

Gagal kemukan resit, syarikat penyeleggararaan dikompaun