NEW YORK, 26 Mei – Russia semalam memberi amaran perjanjian membenarkan eksport bijirin dan baja semasa perang dari tiga pelabuhan Laut Hitam Ukraine akan ditamatkan 17 Julai ini jika tuntutannya tidak dipenuhi.
Pada Mac lalu, Russia membuat ancaman dan tuntutan sama jika permintaannya menambah baik eksport dipenuhi serta berjalan dengan selamat.
Bagaimanapun, minggu lalu Moscow bersetuju memperbaharui pakatan eksport Laut Hitam selama 60 hari, yang pada mulanya diuruskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Turkiye Julai lalu, dipetik dari Reuters.
Ia dilihat sebagai perkembangan positif dalam meredakan krisis, baik antara Russia dan Ukraine mahupun global, yang bertambah buruk sejak pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada Februari 2022.
Sejak Mac, Russia dilihat mengutamakan dua tuntutan khusus iaitu menghidupkan semula projek saluran paip untuk mengangkut ammonia negaranya ke pelabuhan Laut Hitam Ukraine, Pivdennyi untuk dieksport ke pasaran global.
Kedua, menghubungkan semula bank pertaniannya yang dikenali sebagai Rosselkhozbank, kepada rangkaian pembayaran antarabangsa SWIFT.
Kementerian Luar Russia, dalam kenyataan semalam, menegaskan alternatif lain perlu dicari jika tuntutannya tidak dipenuhi.
“Sekiranya Rosselkhozbank tidak dihubungkan kepada SWIFT dan tiada kemajuan dalam pelaksanaan masalah ‘sistemik’ lain yang menghalang eksport pertanian (kita), maka ‘inisiatif Laut Hitam’ juga perlu mencari alternatif lain.
“Walaupun Russia boleh mengeksport menggunakan laluan darat melalui Eropah sebagai alternatif, pilihan itu adalah lebih mahal untuk Ukraine,” katanya.
Rosselkhozbank disekat daripada SWIFT oleh Kesatuan Eropah (EU) pada Jun berikutan pencerobohan Russia dan jurucakap EU berkata blok itu tidak mempertimbangkan pengiktirafan semula bank Russia.
PBB sedang bekerjasama dengan Bank Eksport-Import Afrika (Afreximbank) untuk mewujudkan pentas lain bagi membantu memproses urus niaga eksport bijirin dan baja Russia ke Afrika, kata pegawai perdagangan tertinggi PBB kepada Reuters kelmarin.
Perjanjian bijirin Laut Hitam juga membenarkan eksport ammonia dengan selamat.
Bagaimanapun, saluran paip yang digunakan oleh Russia untuk mengepam sehingga 2.5 juta tan ammonia setiap tahun untuk dieksport ke pelabuhan Pivdennyi Ukraine dari Togliati belum dimulakan kembali. – nasionalkini.my