KUALA LUMPUR, 17 Julai – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Jamil Salleh calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Perkara itu diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu – Kita Bangkit PN Sepang di pekarangan Markas PAS Labohan Dagang, di Sepang, malam tadi.
Turut diumumkan, calon bagi DUN Sungai Pelek, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali yang juga Ketua Bahagian BERSATU Sepang.
“Dua nama saya mahu umumkan lebih awal, calon kita untuk DUN Sungai Pelek, Datuk Suhaimi (Mohd Ghazali) iaitu calon BERSATU dan di DUN Dengkil adalah Datuk (Seri) Jamil Salleh.
“Dia (Jamil) baru bersara dari Ketua Setiausaha KPDNHEP,” katanya lapor BH.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin menjelaskan sokongan terhadap PN di Selangor penting, untuk memberi isyarat jelas bahawa rakyat menolak kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN