STOCKHOLM, 14 Mei – Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell, menyuarakan tentangan ke atas tindakan menyekat bantuan kewangan kepada Pihak Berkuasa Palestin susulan kandungan berunsur kebencian dan anti-Semitik dalam buku teks sekolah Palestin.
Parlimen EU pada Rabu meluluskan belanjawannya, namun menuntut supaya sokongan 300 juta euro (AS$326 juta) setahun kepada Palestin hanya diberikan dengan syarat bahan bermasalah dan penuh kebencian dalam buku teks sekolah dan kad belajar di negara itu dihapuskan.
Jumaat lalu, Pesuruhjaya Dasar Kejiranan dan Pembesaran EU, Olivier Varhelyi, mengumumkan kajian kedua ke atas buku teks terbabit.
Borrell yang berada di Stockholm untuk menyertai mesyuarat menteri luar EU, berkata Pihak Berkuasa Palestin berada dalam situasi sukar dan ia berisiko muflis jika pembiayaan daripada UE disekat.
“Sebagai Wakil Tinggi, saya tidak akan membenarkannya,” katanya kepada AFP di sini.
Beliau menegaskan, perkara itu telah pun ditangani oleh Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah dengan Pihak Berkuasa Palestin dan pihaknya tidak memerlukan kajian baharu, atau apa-apa yang akan menangguhkan pembayaran bantuan kewangan yang diperlukan Pihak Berkuasa Palestin.
“Pembayaran bantuan Eropah menghadapi kelewatan dua tahun lalu, dan ini bermakna orang ramai sudah pun terlepas bantuan diperlukan.
“Tiada perbincangan tentang mencari alasan untuk menyekat bantuan kewangan ini. Mengenai perkara ini saya tegas,” katanya. – nasionalkini.my