in

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Meet Bros Steakhouse

20230514 085439
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah mendengar taklimat mengenai operasi Meet Bros Steakhouse di Paddington, London oleh Pengarah Palace Butcher Resources Azuan Arif Mohd Ariffin, Ketua Pegawai Eksekutif Palace Butcher Resources Syed Ashraf Syed Ali dan Pengarah Urusan Kumpulan Serai Group Najib Hamid - Gambar oleh Bernama

LONDON, 14 Mei – Meet Bros Steakhouse, restoran stik halal dengan citarasa Asia yang terletak di Craven Road, Paddington di sini, menawarkan pelbagai pilihan gabungan masakan Asia.

Bersedia menjadi destinasi paling kerap dikunjungi pencinta makanan di bandar metropolitan ini, Meet Bros bukan sahaja sekadar restoran stik biasa – sebaliknya, adalah kerjasama antara dua rangkaian restoran tempatan iaitu Me’nate Steak Hub dimiliki Palace Butcher Resources dan Serai Group bagi restoran Serai dan Jibby & Co.

Kedua-duanya memiliki rangkaian pensijilan halal sepenuhnya dan mempunyai lebih 30 cawangan.

Raja Permasuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyempurnakan pembukaan cawangan pertama Meet Bros di luar Malaysia, semalam.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah selain turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom (UK) Datuk Zakri Jaafar dan isteri Datin Noraini Abdul Rahman serta hampir 100 tetamu jemputan.

“Kerjasama unik ini menyatukan budaya dan perisa yang berbeza, mewujudkan pengalaman kulinari yang pastinya menambat selera.

“Meet Bros bukan sekadar restoran stik – pengalaman yang ditawarkan bukan sahaja hidangan pesona, malah diiringi muzik bertenaga, persekitaran serta keindahan reka bentuk dalaman seni bina pada zaman pertengahan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Palace Butcher Resources Syed Ashraf Syed Ali, lapor Bernama.

Untuk menikmati hidangan, pelanggan perlu memilih potongan daging yang terletak di ruang simpanan tingkat bawah tanah di restoran itu yang kemudiannya akan dilengkapi dengan perapan citarasa Asia.

Syed Ashraf berkata Meet Bros di London adalah cawangan pertama dibuka di luar negara dan cawangan seterusnya dijangka dibuka di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan Johannesburg, Afrika Selatan pada tahun ini.

Palace Butcher Resources dan Serai Group telah memanfaatkan sokongan daripada kerajaan untuk pertumbuhan masing-masing melalui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“Kami telah menjadi sebahagian daripada keluarga PUNB sejak 10 tahun lepas dan pengupaya dalam pengembangan perniagaan kami, seiring dengan tema transformasi baharu PUNB iaitu ‘Mencipta Semula PUNB, Laluan Menuju Kemampanan.’ Terima kasih PUNB,” kata Pengarah Palace Butcher Resources Azuan Arif Mohd Ariffin dalam ucapan alu-aluannya pada majlis itu.

Beliau berkata kerjasama di antara Me’nate Steak Hub dengan Serai Group menyatukan budaya dan citarasa yang berbeza, sekali gus memberikan pengalaman kulinari yang memikat selera.

“Kami menawarkan daging dipilih dengan teliti yang diterbangkan dari seluruh dunia dan berpeluang memilih potongan daging daripada pendingin untuk membolehkan pelanggan melihat sendiri kesegaran daging yang akan dinikmati.

“Kami juga berbangga menawarkan pelbagai pilihan hidangan Asia yang diyakini memikat selera anda,” katanya.

Beliau berkata, Pengarah Urusan Serai Group iaitu Najib Hamid sebagai chef yang berpengalaman, memainkan peranan penting untuk menghasilkan menu di Meet Bros selain memastikan dapur berada pada tahap yang terbaik sepanjang masa. – nasionalkini.my

20230514 083523

EU tolak tindakan sekat bantuan kewangan untuk Palestin

ezgif.com webp to jpg 8 2

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini