in

KPDN tahan lelaki isi minyak diesel dalam tangki tambahan

Ketika serbuan, suspek sedang mengisi minyak diesel di dalam lori jenis Isuzu dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat tangki tambahan pada bahagian badan lori itu

Oleh Aimi Isma

ALOR SETAR, 20 Julai – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menahan seorang lelaki ketika sedang mengisi minyak bersubsidi diesel di Lunas, dekat Kulim, semalam.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak pada jam 5.50 petang hasil aduan orang awam dan risikan anggota KPDN Cawangan Kulim.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek sedang mengisi minyak diesel di dalam lori jenis Isuzu dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat tangki tambahan pada bahagian badan lori itu.

“Lori terbabit bersama 1,800 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM3,870 sudah disita oleh anggota kami,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, turut disita ialah enam unit tangki IBC (intermediate bulk containers) dan satu unit hos berserta pam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1974 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.- nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Amerika sekat teknologi China

Pengasuh bunuh bayi kena dakwa