KUALA LUMPUR, 29 Mei – PETRONAS menafikan spekulasi penggabungan antara Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) dan Sapura Energy Bhd yang dilaporkan media sebelum ini.
“Sebarang pertimbangan berkaitan pelaburan atau penjualan dalam kumpulan PETRONAS adalah sentiasa dan akan berpandukan kepada kelulusan di peringkat Lembaga Pengarah dan rangka kerja pengurusan yang dipertingkatkan,” jelas syarikat minyak dan gas itu dalam kenyataan hari ini.
Dalam dagangan berakhir tengah hari ini, Sapura Energy muncul antara kaunter paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia.
Setakat 12.35 tengah hari, harga saham Sapura Energy menokok 14.29 peratus atau 0.5 sen kepada 4 sen sesaham dengan 43.14 juta saham diniagakan.
Saham MHB juga meningkat 4.85 peratus atau 2.5 sen kepada 54 sen sesaham dengan 422,400 saham diniagakan.
Laporan media pada awal bulan ini menyatakan penggabungan antara Sapura Energy dan MHB- unit tidak langsung Petronas, berkemungkinan berlaku.
Berdasarkan laporan itu lagi, pemegang saham majoriti Sapura Energy dan MHB iaitu Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan PETRONAS didakwa sedang ‘dalam peringkat mempertimbangkan’ penggabungan kedua syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu.
Namun, ia menegaskan perbincangan terbabit masih di ‘peringkat awal’.
Di tengah-tengah spekulasi yang timbul itu, Sapura Energy melantik 2 ahli lembaga pengarah baharu, Wan Mashitah Wan Abdullah Sani dan Datuk Nur Iskandar A Samad sebagai pengarah bukan eksekutif bebas berkuat kuasa 26 Mei lalu.
Menurut Sapura Energy, kedua pengarah itu adalah profesional dalam industri tenaga dan pengalaman kepimpinan mereka sangat bernilai kepada syarikat yang bakal melaksanakan pelan ‘reset’ untuk terus berkembang maju pada masa hadapan. – nasionalkini.my