in

Anak yatim tolak tawaran IPTA akibat tidak mampu

Fatin Nur Aqilah (kiri) mencium pipi ibunya, Moraini dan memilih untuk menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam akibat kesempitan wang walaupun menerima tawaran ke IPTA - Gambar oleh Sinar Harian

KUALA KRAI, 19 Julai – Seorang anak yatim di Kampung Chuchoh Puteri di sini terpaksa menolak tawaran melanjutkan pengajian di universiti awam akibat kesempitan wang.

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Fatin Nur Aqilah Mat Soom, 18, itu menerima tawaran menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam selepas mendapat keputusan SPM 4A, 1A, 1B, 1C dan 1D baru-baru ini.

Menurut Fatin Nur Aqilah, ibunya, Moraini Ismail, 52, hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan yang tidak tetap sekitar RM250 sebulan manakala bapanya, Mat Soom Abu Bakar sudah meninggal dunia empat tahun lalu pada tahun 2019.

“Arwah bapa ialah pesara tentera dan kami menerima pencennya sebanyak RM1,300 sebulan, namun tidak mencukupi untuk menampung kehidupan kami sekeluarga termasuk kos rumah sewa RM80 sebulan.

“Saya tak ada wang untuk membayar yuran kemasukan ke universiti dan kos pengangkutan untuk pergi di Selangor menyebabkan saya menyambung pengajian ke Tingkatan Enam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jalinan Kasih Pelajar Cemerlang B40 Program Yayasan PETRONAS Empower ECER Akademik (YPeA) di Pejabat Pendidikan Daerah di sini, semalam.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra itu, sebelum ini dirinya ialah pelajar yang lemah pelajaran namun berjaya meningkatkan prestasi selepas menyertai YPeA sesi 2022/2023 hingga menerima tawaran daripada universiti.

“Program kelas bimbingan dan motivasi YPeA ini mencungkil potensi diri dan mendorong saya untuk terus berjuang meraih kejayaan dalam SPM tanpa putus asa.

“Suatu hari nanti, saya mahu capai cita-cita untuk menjadi pensyarah bagi membalas jasa ibu yang sudah banyak berkorban untuk keluarga,” katanya.- nasionalkini.my

Nilam Optik kekal bertahan lepas 13 tahun operasi

Nasi Ayam Kuala Besut antara paling murah di dunia