Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 29 Mei – “Saya tahu Allah SWT tak kejam, Dia nak bagi sesuatu yang indah dari ini dan saya terimanya dengan penuh reda.”
Itu luahan hiba dikongsikan Siti Suryati Sani, 41, apabila kehilangan satu-satunya tempatnya bersama lapan anak yang masih kecil bergantung hidup selama ini.
Ia selepas suaminya, Khirul Azlizam Mohamed@Mohamed Daud, 41, meninggal dunia Jumaat lalu akibat masalah jantung meninggalkannya dan anak-anak berusia 10 bulan hingga 15 tahun.
Menurutnya, hanya Allah sahaja yang tahu kesedihan terpaksa ditanggung kehilangan suami yang bekerja sebagai pegawai paramedik di , luar pesisir namun sedar perlu menghadapi ujian itu dengan penuh kesabaran.
“Saya terima ujian ini…arwah suami pun semasa sakit, ada beritahu dia reda jika ditakdirkan sudah tiada kerana tak tahan menanggung sakit berpunca daripada serangan jantung pada Januari lalu.
“Sebagai isteri, saya cuba menenangkannya ketika itu dan reda kerana dapat menjaganya di Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Melaka sehingga ke akhir hayatnya Jumaat lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, di sini hari ini.
Bercerita lanjut surirumah itu berkata, sejak arwah suaminya itu sakit Januari lalu, dia terpaksa menggunakan segala wang simpanan termasuk menggadai barang kemas demi menyara anak-anak dan kos ulang alik ke Hospital Melaka menjaga suami.
“Walaupun kerja di ‘offshore’ arwah hanya dibayar mengikut kontrak sekali kerja dan kalau tiada permintaan, tiadalah pendapatan untuk kami sembilan beranak.
“Biasanya, setiap bulan suami akan beri saya RM3,000 untuk keperluan anak-anak berusia 15 tahun sehingga 10 bulan, namun kini saya perlu menanggungnya sendirian dalam keadaan semua simpanan dan barang kemas sudah habis,” katanya hiba.
Tambahnya, mujurlah dalam kesukaran itu, ada adik beradiknya yang lain sudi membantu serba sedikit bagi kos perbelanjaan lima anak yang bersekolah berusia enam hingga 15 tahun.
“Cuma apa yang merunsingkan saya, sewa rumah RM400 sebulan juga sudah 10 bulan tertunggak kerana pendapatan suami yang tidak menentu dan selepas ini mungkin saya akan berpindah ke rumah arwah ayah yang tidak jauh dari sini,.
“Saya juga sedang buat permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Terdahulu, kepayahan hidup Siti Suryati turut mendapat perhatian Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Mohd. Arif Yusa yang menyantuni keluarga itu bersama pegawai kebajikannya.
“Kita akan menjadi pemudah cara agar segala dokumen diperlukan dapat segera diserahkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk memproses bantuan yang layak diperoleh,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan juga boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Siti Suryati Sani di nombor 104068086569. – nasionalkini.my