in

PBKSB jalin kerjasama dengan pengendali petroleum PETRONAS

Majlis menandatangani Perjanjian Penyediaan Fasiliti, Perkhidmatan Dan Sewaan Antara PBKSB dan Kontraktor- Kontraktor Pengendali Petroleum diadakan di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini

Oleh Mohammad Ishak

KUALA TERENGGANU, 26 Jun – Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menandatangani kontrak bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan lapan Kontraktor Pengendali Petroleum (PACs) lain.

EPIC Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, jalinan kerjasama strategik itu bagi perkhidmatan fasiliti pangkalan bekalan dan sewaan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, pihaknya menghargai sokongan tidak berbelah bahagi PETRONAS dan PAC lain yang terlibat.

“Kontrak ini adalah penting bagi PBKSB kerana ia bukan sahaja mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penyedia kemudahan pangkalan bekalan tetapi juga menggalakkan pembangunan bakat tempatan dalam bidang aktiviti operasi,” katanya.

Beliau berharap, untuk terus menjalin hubungan kerjasama yang akan memacu pertumbuhan industri minyak dan gas tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat

Beliau yang juga Pengerusi PBKSB berkata pihaknya sudah menandatangani Perjanjian Penyediaan Fasiliti, Perkhidmatan Dan Sewaan Antara PBKSB dan Kontraktor- Kontraktor Pengendali Petroleum di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir bagi menyaksikan majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali serta Pengurus Besar Kanan PETRONAS, Wan Asmawadi Wan Mohd.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili menandatangani kontrak-kontrak bersama Pemangku Pengurus Besar PBKSB, Suhardi Akil Awang Hassan mewakili pihak syarikatnya dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC, Wan Mohd Azilah Wan Abdullah.

Menurut kenyataan itu, KSB adalah fasiliti bekalan minyak dan gas berintegrasi terbesar di Semenanjung Malaysia merangkumi keluasan 200 hektar secara keseluruhan, dengan tambahan 60 hektar yang ditetapkan untuk pertumbuhan di masa hadapan.

“Sepanjang tempoh kontrak, PBKSB akan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan seperti peralatan pengendalian bahan (MHE), tenaga kerja berkaitan MHE, pengurusan pangkalan bekalan dan perkhidmatan sokongan gudang, serta perkhidmatan bersepadu bagi operasi PETRONAS di Semenanjung Malaysia dan lapan PAC lain,” jelas kenyataan itu. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Jurulatih cedera insiden bom lempar stabil

20230511 101730

2 tuduhan untuk Inspektor Sheila