PETALING JAYA, 14 Mei – Turkiye menyatakan minat dan berhasrat membuat pelaburan lebih besar serta membangunkan industri pertahanan Malaysia pada masa akan datang.
Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel berkata, hasrat tersebut dinyatakan selepas melihat skop kerjasama antara dua negara selain faktor perkembangan geopolitik semasa.
Malah beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Malaysia bagi menghasilkan produk pertahanan yang lebih canggih.
“Sektor industri pertahanan negara kami yang bergantung kepada 80 peratus produk tempatan dilihat menjadi dimensi penting untuk mewujudkan kerjasama dengan negara-negara sahabat.
“Malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Turkiye meningkatkan minatnya (pelaburan dan pasaran) di Malaysia dan ASEAN dalam bidang ini. Malaysia juga begitu, turut menunjukkan minat terhadap hasil kejayaan negara kami dalam bidang industri pertahanan sepanjang tempoh 20 tahun lalu,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkunjung ke Turkiye bagi mengadakan perbincangan dengan industri pertahanan negara terbabit berhubung cadangan perolehan tiga kapal misi pesisir (LMS) kumpulan kedua untuk keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Malah, syarikat dari negara itu juga dikatakan bersedia menawarkan kapal korvet kelas ADA bagi cadangan perolehan tersebut.
LMS kumpulan kedua dijangka mula dibina tahun ini manakala selebihnya dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).
Sementara itu, Yuksel berkata, Turkiye mengambil pendekatan profesional dan tidak ‘ambil hati’ dengan keputusan Malaysia memilih pesawat tempur ringan (LCA) KA-50 buatan Korea Selatan berbanding Hurjet bagi melengkapkan keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau berkata, kerjasama Turkiye dan Malaysia dalam bidang pertahanan akan diteruskan termasuk mengekalkan operasi Turkish Aerospace Industries (TAI) di Cyberjaya yang dibuka sejak 2021.
“TAI adalah milik awam dan tidak sama sekali mengehadkan kerjasamanya dengan Malaysia disebabkan keputusan Malaysia tidak memilih Hurjet.
“Soal kerjasama lebih daripada itu, seperti pepatah Inggeris sky is the limit,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Yuksel berkata, kekerapan jumlah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Istanbul akan ditambah selepas peningkatan kemasukan pelancong Malaysia ke negara itu.
“Kita menambah jumlah penerbangan kepada 14 kali seminggu pada Ogos nanti bagi menampung pertambahan kedatangan pelancong ke negara kami.
“Ini sekali gus menunjukkan kerancakan aktiviti pelancongan antara kedua-dua negara,” jelasnya. – nasionalkini.my