TERENGGANU, 14 Mei – Ribuan ikan di tasik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak, Kuala Nerus, mati sejak semalam dipercayai akibat kepanasan ekoran fenomena El Nino.
Ini kerana cuaca panas melampau sejak Mac lalu meningkatkan lagi suhu permukaan tasik, sekali gus mengurangkan kapasiti simpanan oksigen dalam air.
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar (Eseri) UniSZA, Fathurrahman Lananan, berkata kekurangan oksigen di tasik berkenaan dikenal pasti menjadi punca kematian ikan terbabit yang sebilangan besarnya spesies tilapia.
“Kita sudah menjalankan pemeriksaan sampel air tasik dan mendapati bacaan oksigennya terlalu rendah. Selain cuaca panas, kita syak kekurangan oksigen itu juga disebabkan kemasukan nutrien sisa air domestik daripada sistem perparitan taman perumahan berhampiran,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Fathurrahman berkata, pertembungan faktor nutrien daripada sisa buangan domestik yang pekat ditambah peningkatan suhu permukaan tasik memburukkan keadaan.
Katanya, kenaikan mendadak oksigen biologikal (BOD) boleh mengakibatkan bacaan oksigen air menjadi sifar, sekali gus mematikan ekosistem dalam sungai seperti ikan dan tumbuhan.
“Ini kali kedua insiden ikan mati di tasik UniSZA akibat sebab yang sama sejak tasik ini dijadikan komponen tebatan banjir kawasan setempat mulai 2017,” katanya.
Susulan itu, Fathurrahman berkata, pihaknya turut memohon kerajaan meluluskan segera projek Loji Rawatan Air (LRA) bagi menampung kemasukan air domestik di tasik berkenaan.