in

Khidmat sewa pakaian tema merdeka dapat sambutan

Gambar oleh BH

KOTA BHARU, 21 Ogos – Bermula daripada menghasilkan pakaian bertemakan kemerdekaan untuk dipakai anak bagi sambutan di sekolah, hasil tangan Mimi Suriana Zaharin kini mula mendapat tempahan.

Pelbagai rekaan dihasilkannya untuk digayakan anak menyebabkan ramai yang ingin membuat sewaan seterusnya mencetuskan idea buat wanita berusia 33 tahun itu untuk menyediakan khidmat sewaan busana bertemakan kemerdekaan.

Mimi Suriana berkata, dia mula menyediakan khidmat sewaan busana tema kemerdekaan tahun lalu dan sehingga kini sudah 100 pasang pakaian sudah dihasilkannya.

“Pada mulanya saya hanya jahit pakaian tema merdeka untuk anak, tapi tak sangka ramai yang berkenan dan ingin menyewa.

“Dari situ tercetus idea untuk membuat khidmat sewaan kerana tidak banyak pakaian tema kemerdekaan dijual di premis perniagaan, terutama untuk golongan kanak-kanak.

“Khidmat sewaan lebih menerima sambutan kerana pakaian tema sebegini hanya dipakai sekali setahun dan agak membazir jika ditempah khas,” katanya ketika ditemui BH di rumahnya di Kampung Pulau Kundor, di sini.

Mimi Suriana yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang jahitan berkata, dia menghasilkan pakaian tema kemerdekaan itu menerusi kaedah cantuman kain dan masa yang diambil sangat singkat.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia juga mampu menghasilkan antara lima hingga enam pasang baju sehari, manakala rekaannya pula bergantung kepada idea sendiri serta merujuk kepada mana-mana sumber.

“Kadar sewaan pula agak berpatutan antara RM25 hingga RM35 selama tiga hari dan ada juga yang menyewa sehingga sambutan Hari Malaysia,” katanya.- nasionalkini.my

Singapura bantu siasatan nahas Elmina

OPR kekal 3.0 peratus