in

Kendalikan DAX secara haram di Malaysia, Huobi Global Limited diarah henti operasi

WhatsApp Image 2023 05 22 at 18.41.28
Huobi - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 22 Mei – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengarahkan Huobi Global Limited untuk menghentikan operasinya di negara ini, termasuk operasi di laman web dan aplikasi mudah alihnya dalam platform seperti Apple Store, Google Play dan mana-mana platform aplikasi digital lain.

Ini berikutan Huobi Global Limited, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leon Li didapati mengendalikan pertukaran aset digital (DAX) di Malaysia tanpa pendaftaran.

Sehubungan itu, SC telah mengeluarkan celaan terhadap Huobi Global Limited, dan Leon Li kerana beroperasi secara haram di Malaysia.

“Huobi Global Limited juga telah diarahkan untuk menghentikan pengedaran, penerbitan atau penghantaran sebarang iklan, sama ada dalam e-mel atau di platform media sosial, kepada pelabur Malaysia.

“Leon Li juga telah diperintahkan secara khusus untuk memastikan arahan di atas dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SC menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas terdapat kebimbangan mengenai pematuhan platform tersebut terhadap keperluan kawal selia tempatan dan dalam usaha melindungi kepentingan pelabur.

“Kami memandang serius pelanggaran ini, kerana mengendalikan DAX tanpa didaftarkan dengan SC sebagai Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007,” tegasnya.

Sehubungan itu, SC menggesa pelabur Malaysia yang telah menggunakan Huobi Global Limited untuk segera menghentikan dagangan melalui platformnya, menarik balik semua pelaburan mereka, dan menutup akaun.

Pelabur juga dinasihatkan untuk melabur dan berurusan dengan RMO yang berdaftar dengan SC.

RMO berdaftar telah menjalani penelitian kawal selia yang ketat dan dikehendaki mematuhi garis panduan yang ketat supaya pelabur dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.

“Mereka yang melabur dengan entiti atau individu yang tidak berlesen atau tidak berdaftar terdedah kepada risiko seperti penipuan dan mungkin tidak dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.

“Pelabur harus berhati-hati apabila memilih platform pelaburan dan sentiasa melakukan semakan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan,” katanya.

Selain itu, SC juga meminta supaya pelabur  berhati-hati dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kecil, kerana ia mungkin tidak wujud.

“Dengan mengambil langkah berjaga-jaga ini, pelabur boleh melindungi pelaburan mereka dan mengelak daripada menjadi mangsa skim penipuan,” jelas kenyataan itu. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 05 22 at 15.44.47

Peniaga ‘pening’ sering jadi sasaran scammer

WhatsApp Image 2023 05 22 at 17.59.06

Papa Rock mahu imbas nostalgia beraksi di Darul Makmur