KUANTAN, 18 Ogos – Seorang pengarah projek sebuah syarikat pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas tuduhan menjalankan perlombongan tanpa lesen atau pajakan yang sah pada Mei lalu.
Tertuduh, Teh Tze Jin, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Bapa kepada empat anak itu didakwa menjalankan perlombongan tanpa suatu lesen atau pajakan yang sah di sebuah kawasan bersebelahan tapak projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Sungai Baging, Mukim Sungai Karang dekat sini, jam 4.10 petang, pada 21 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Taqiuddin Azizan dan Hasmad Mahyuddin memohon tertuduh dikenakan ikat jamin RM50,000 dengan dua orang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Rusnizam Abdullah memohon agar jumlah wang jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh telah berkahwin perlu menanggung isteri dan empat orang anak berusia antara dua hingga lapan tahun selain kes itu adalah kesalahan pertama.
“Tertuduh bekerja sebagai pengarah projek dengan pendapatan lebih kurang RM5,000 sebulan.
“Sehingga tarikh ini tertuduh tidak pernah disabit dengan mana-mana kesalahan jenayah dan ini merupakan kesalahan jenayah kali pertama tertuduh,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Kes disebut semula pada 8 September depan.- nasionalkini.my