KUANTAN, 22 Mei – Seorang pemilik syarikat menjual kenderaan terpakai mendakwa menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama syarikat miliknya untuk menipu orang ramai.
Thomas Wong, 70, pemilik syarikat GT Auto Enterprises yang menjual kenderaan terpakai di Jalan Wong Ah Jang, dekat bandar raya ini, sudah dua kali membuat laporan polis berkaitan perkara itu.
“Bulan April lalu saya ada buat satu laporan polis di Balai Polis Kuantan mengenai perkara ini.
“Saya tidak tahu bagaimana mereka (penipu) itu dapat mempengaruhi orang ramai membeli kereta dan mengatakan kereta dijual ada di kedai saya.
“Jadi saya harap perkara ini boleh disiasat dengan segera,” katanya.
Wong berkata, dia menerima dua aduan berkaitan aktiviti menjual kenderaan terpakai menggunakan nama syarikat miliknya pada 11 dan 19 Mei lalu.
Katanya, penipu itu menggunakan resit tertera nama syarikat miliknya sedangkan resit itu tidak pernah dikeluarkan syarikat berkenaan.
“Jadi saya pun pelik macam mana penipu ini boleh buat satu resit guna nama syarikat kami dan mempengaruhi orang lain bahawa ia (resit) adalah tulen.
“Saya mewakili GT Auto Enterprises meminta orang ramai supaya berurusan dengan kami secara terus tanpa menggunakan orang tengah bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.