KUALA LUMPUR, 18 Mei – Kos penyelenggaraan flat kos rendah Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di Johor Bahru dianggarkan berjumlah RM26.3 juta.
Menteri Pembangunan Kerajaan tempatan (KPKT) Nga Kor Ming, kos berkenaan meliputi kerja-kerja mengecat bangunan blok flat, menaiktaraf pengairan dan saliran secara berfasa, membaiki sistem pendawaian, penyelenggaraan sistem perparitan yang sedia ada dan pengindahan landskap.
Justeru, pihaknya komited dalam menyelesaikan masalah ini dan akan terus bekerjasama dengan penduduk, pihak pengurusan bangunan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri bagi menambahbaik kualiti perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan khususnya di negeri Johor.
“KPKT telah mengenal pasti beberapa masalah termasuk infrastruktur yang usang, tahap kesedaran kepentingan menjaga kebersihan yang rendah, serta kekurangan dana akibat kutipan caj pengurusan yang rendah.
“Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) juga telah mengarahkan syarikat konsesi SWM Environment Sdn Bhd untuk mengambil tindakan segera menambah baik prestasi perkhidmatan di kawasan tersebut seperti yang tertakluk di dalam perjanjian konsesi dan membantu agensi-agensi lain seperti persatuan penduduk, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja pembersihan di luar skop kerja perkhidmatan.

“Hingga 17 Mei 2023, seramai 50 anggota dan sejumlah 10 jentera kenderaan Roll on Roll Off (RORO), 3 jentolak dan lori kompaktor telah digerakkan bagi menjalankan kerjakerja pembersihan dan kutipan sisa pepejal di sekitar kawasan Flat TUTA.
Dianggarkan sebanyak 90 tan longgokan sisa pukal yang telah dikutip dan dilupuskan ke tapak pelupusan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan nasihat dan peringatan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengenai kerja-kerja pembersihan di kawasan rumah kos rendah awam itu di Skudai, Johor Bahru semasa menteri itu mengadap baginda pada 15 Mei lalu.
Baginda bertitah, mutu kerja SWM Environment Sdn Bhd (SWM) sebagai syarikat yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pungutan sampah tidak memuaskan terutama di flat-flat kos rendah.
Tambah beliau, sebanyak 50 unit tong sampah beroda (TSB) telah ditukar, 449 unit TSB dibaik pulih bagi semua 88 blok di flat berkenaan.
Pembersihan juga turut meliputi pemotongan rumput dan pembersihan longkang-longkang tersumbat yang terdapat di sekeliling kawasan Flat TUTA. – nasionalkini.my