KUALA LUMPUR, 26 Mei – Inflasi di Malaysia meningkat dengan kadar perlahan kepada 3.3 peratus pada April 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.0 berbanding 125.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Data yang dikeluarkan pada April itu menunjukkan kenaikan inflasi di Malaysia kekal didorong oleh restoran dan hotel (6.6 peratus) dan makanan dan minuman bukan alkohol (6.3 peratus).
Namun, jelasnya, peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan pengangkutan iaitu 2.3 peratus berbanding Mac 2023 (2.4 peratus) sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi Malaysia daripada terus meningkat lebih tinggi.
“Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia pada April 2023 turut didorong oleh peningkatan bagi kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5 peratus); kesihatan (2.1 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.8 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenaikan komponen makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh kenaikan subkumpulan daging (9.2 peratus) diikuti susu, keju dan telur (7 peratus); beras, roti dan bijirin lain (6.4 peratus) dan buah-buahan (5.1 peratus).
Kedua-dua subkumpulan gula, jem, madu, coklat dan manisan serta ikan dan makanan laut meningkat sebanyak 3.5 peratus dan 3.1 peratus.
Sementara itu, subkumpulan sayur-sayuran menunjukkan penurunan yang ketara kepada 0.7 peratus manakala minyak dan lemak terus menurun kepada -0.4 peratus.
Komponen makanan di luar rumah turut mencatatkan kenaikan yang lebih rendah kepada 8.1 peratus berbanding Mac 2023 (8.6 peratus).
Menurut DOSM, inflasi keseluruhan secara bulanan pada April 2023 meningkat marginal kepada 0.1 peratus pada kadar sama dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Ia menyaksikan inflasi teras mereda kepada 3.6 peratus (berbanding Mac 2023: 3.8 peratus).
Bagi peringkat negeri, sembilan negeri merekodkan peningkatan inflasi di bawah paras nasional 3.3 peratus dengan Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2 peratus.
“Bagaimanapun, hanya lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (4.1 peratus), Sarawak (3.9 peratus), Selangor (3.8 peratus), Pahang (3.5 peratus) dan Perak (3.4 peratus),” katanya.
Dibandingkan dengan negara-negara lain, Malaysia mencatatkan kadar inflasi yang lebih rendah berbanding Zon Euro (7 peratus), Filipina (6.6 peratus), Singapura (5.7 peratus), Amerika Syarikat (4.9 peratus) dan Indonesia (4.3 peratus).
Namun, kadar inflasi di Malaysia lebih tinggi berbanding Vietnam (2.8 peratus) dan Thailand (2.7 peratus).- nasionalkini.my