Oleh Arman Dhani Zafir
MUADZAM SHAH, 26 Mei -Seorang maut dalam kemalangan ngeri membabitkan dua buah kenderaan jenis treler di Jalan Kuantan-Segamat, dekat bandar Muadzam, di sini, awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kenderaan berat tersebut masing-masing membawa muatan papan dan juga paip.
Menurutnya, pasukan penyelamat terdiri daripada sembilan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Muadzam Shah, bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan sekitar pukul 5.16 pagi tadi.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan itu mengakibatkan pemandu kepada lori membawa muatan papan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa didapati mengalami kecederaan parah, dan disahkan oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Seorang lagi mangsa yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zulfadli berkata, pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa terlibat dengan menggunakan peralatan menyelamat khas.
“Mangsa yang tersepit itu berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk siatan serta tindakan lanjut,” katanya. – nasionalkini.my