Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 26 Mei – Seorang pegawai operasi sebuah syarikat keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh hari ini atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata dan mencederakan dua warga emas hujung bulan lalu.
Tertuduh, Muhd Marwan Rohani, 35, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan bersama seorang lagi yang masih bebas dengan mengambil beg duit milik Gue Boon Guan, 65, dan Gan Chuei Lan, 66, menyebabkannya kerugian RM400.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu menggunakan sebatang kayu besbol sehingga mencederakan kedua-dua mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Pantai Emas 11, Taman Pantai Emas, Melaka pada pukul 10.45 malam, 29 April lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Darmafikri membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut turut diarah melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menyerah pasport kepada mahkamah selain dilarang mendekati mangsa.
Mahkamah menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes. nasionalkini.my
habis.