KUALA LUMPUR 2 MEI – Kerajaan tidak akan menaikkan harga runcit minyak masak walaupun terdapat kenaikan barangan itu pada bulan lalu.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataannya berkata, terdapat kenaikan harga minyak sawit mentah untuk April berbanding bulan sebelumnya yang telah melepasi RM4,000 per tan matrik.
Kata kenyataan itu, kenaikan tersebut sekali gus akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen dalam botol berdasarkan konsep harga siling bergerak.
“Walau bagaimanapun bagi mengelakkan bebanan kepada rakyat dan pengguna, kerajaan dan industri bersetuju mengekalkan harga runcit minyak masak sawit tulen dalam botol bagi tempoh 8 Mei hingga 7 Jun dan perbezaan harga ditanggung kerajaan.
“Harga minyak masak bagi 1 kilogram (kg) adalah RM6.90 diikuti 2 kg (RM13.30), 3 kg (RM19.60) dan 5 kg (RM30.90),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu berkata, pengekalan harga runcit minyak sawit dalam botol melibatkan pembayaran subsidi kepada pengilang penapis secara tuntutan bayaran balik berdasarkan bilangan tuntutan sebenar.
Tegas kenyataan itu, mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutaan 2011.
“KPDN akan meneruskan pemantaun disamping turut menggalakkan pengguna agar menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan perlanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa kementerian termasuk harga runcit minyak masak sawit tulen,” katanya.