in ,

Pelabur asing jual ekuiti tempatan sebanyak RM187.8 juta pada minggu lalu – MIDF Research

IMG 20230502 WA0005
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 2 Mei – Pelabur asing terus menjual ekuiti tempatan buat minggu kedua berturut-turut sebanyak RM187.8 juta di sebalik dagangan pendek minggu lalu sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

Laporan aliran dana mingguan MIDF Research menunjukkan pelabur asing menjual ekuiti setiap hari apabila dagangan dibuka pada Selasa.

Didapati mereka muncul sebagai penjual bersih ekuiti selama 11 minggu daripada 17 minggu setakat tahun ini yang merekodkan aliran keluar sebanyak RM2.12 bilion.

“Sektor perkhidmatan dan produk pengguna menyaksikan aliran bersih asing paling tinggi pada minggu lalu sebanyak RM44 juta diikuti hartanah (RM12.9 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM6.4 juta).

“Sementara itu, tiga sektor yang mencatat aliran keluar bersih asing ialah perkhidmatan kewangan sebanyak RM85.9 juta diikuti teknologi (RM52.5 juta) serta perkhidmatan dan produk perindustrian (RM34.6 juta),” katanya dalam laporan itu hari ini.

Bagi pelabur institusi tempatan pula, mereka muncul sebagai pembeli bersih ekuiti pada minggu lalu sebanyak RM166.6 juta selepas menjual RM7.3 juta ekuiti pada minggu sebelumnya.

Pada minggu lalu, pelabur institusi tempatan merekodkan pembelian bersih dengan aliran masuk paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM86.9 juta.

“Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih ekuiti selama 12 minggu daripada 17 minggu tahun ini dengan mencatat aliran masuk sebanyak RM1.99 bilion,” jelasnya.

MIDF Research berkata, pelabur runcit terus merekodkan pembelian ekuiti bagi minggu kedua berturut-turut sebanyak RM21.2 juta.

“Bagaimanapun, minggu lalu pasaran adalah bercampur-campur bagi pelabur runcit. Mereka merekodkan aliran keluar sebanyak RM3 juta dan RM17.2 juta masing-masing pada Selasa dan Khamis.

“Aliran masuk pula direkodkan pada Rabu dan Jumaat masing-masing sebanyak RM30.6 juta dan RM10.8 juta mengimbangi kerugian yang dicatatkan,” tambahnya.

Pelabur runcit telah merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM129.3 juta dalam tempoh sembilan daripada 17 minggu setakat tahun ini.

Dari segi pergerakan pelabur, purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing meningkat 3.9% pada minggu lalu.

Sebaliknya dagangan pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit masing-masing susut 18.3% dan 11.5%, menurut laporan itu lagi – NasionalKini.my

e43374c35473f698dce06f7423ea2aab

Isaiah ikrar perjuang nasib OKU di Parlimen

FB IMG 1683002634948

Anak maut dipercayai akibat strok haba