MANCHESTER, 10 Julai – Manchester United meletakkan harga yang tinggi buat Harry Maguire sekali gus menyaksikan pasukan yang berminat dengan khidmatnya mungkin terpaksa menarik diri pada musim panas ini.
Pemain berusia 30 tahun itu menyertai United dengan nilai RM477 juta pada 2019 – masih menjadi rekod perpindahan termahal bagi pemain pertahanan.
Manchester Evening News melaporkan United meletakkan nilai RM298 juta buat Maguire – nilai yang mungkin membuatkan pasukan lain terpaksa mempertimbangkan dengan teliti bagi mendapatkan pemain itu.
Pemain itu masih memiliki kontrak dua tahun dan United bersedia melepaskan pemain itu selepas tidak lagi menjadi pilihan di bawah kendalian Erik ten Hag.
Maguire bersedia untuk berbincang mengenai masa depannya bersama Ten Hag sama ada dia akan kekal bersama United pada musim depan ataupun perlu mencari pasukan baharu selepas empat tahun di Manchester.
Tiada pasukan dijangka mahu melabur RM298 juta untuk mendapatkan Maguire namun berkemungkinan rundingan boleh dilakukan bagi memastikan situasi ‘menang-menang’ buat pemain dan juga pasukan.
Namun Maguire berhasrat untuk bersaing bagi merebut tempatnya di mana dia mengharungi tiga sesi latihan dalam sehari di kem latihan di Portugal.
Latihan terbabit dijalankan bersama bekas pertahanan Chelsea, Ricardo Carvalho.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN