LONDON, 21 Mei – Manchester City memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris buat kali kelima dalam enam musim selepas pesaing terdekat, Arsenal tewas 1-0 di tangan Nottingham Forest.
Peluang The Gunners untuk mengejar City tertutup sepenuhnya selepas kekalahan kedua berturut-turut meletakkan anak buah Mikel Arteta empat mata di belakang pendahulu dengan hanya satu perlawanan berbaki.
Jaringan Taiwo Awoniyi di babak pertama turut memastikan Forest berjaya mengelak penyingkiran pada musim pertama kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas 23 tahun.
Gelaran ketiga berturut-turut City menjadikan perlawanan liga di laman sendiri menentang Chelsea malam ini sebagai medan meraikan kejuaraan.
Skuad kendalian Pep Guardiola kini boleh memberikan tumpuan untuk melengkapkan treble apabila berdepan Manchester United dan gergasi Itali, Inter Milan pada final Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah bulan depan.
“Tahniah buat Manchester City kerana memenangi kejuaraan tetapi ia hari yang menyedihkan buat kami.
“Kini kami perlu berdepan realiti, hari ini kami dibolosi dan gagal menembusi benteng mereka. Kami boleh bermain untuk tiga jam tetapi masih akan gagal melakukannya,” kata Arteta, dipetik dari AFP.
Sementara itu pengendali Forest, Steve Cooper berkata: “Kami mengehadkan pergerakan mereka, keazaman kuat untuk menang dan berjaya melakukannya.”
Manchester United dan Newcastle semakin hampir untuk mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan selepas Liverpool seri 1-1 menentang Aston Villa.
Kedua-dua pasukan yang terikat di tangga keempat dan ketiga liga itu kini tiga mata di depan Liverpool, yang hanya berbaki satu perlawanan. – nasionalkini.my