in

SPRM siasat bekas menteri, tokoh perniagaan kes seleweng dana RM2.3 bilion

Gambar hiasan

PETALING JAYA, 21 Mei – Beberapa kertas siasatan telah dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas seorang tokoh perniagaan bergelar Tan Sri dan seorang bekas menteri kanan berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 bilion.

Kertas siasatan itu dibuka mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen sulit dibuat International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Kata beliau, tumpuan siasatan adalah berhubung pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.

“Difahamkan juga transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan mata wang ringgit pada hujung 1990-an dan diseleweng untuk kepentingan individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian lebih teruk,” kata sumber itu.

Mengulas lanjut, sumber berkata, penyiasatan juga bertumpu kepada transaksi daripada hasil penjualan saham syarikat tersenarai tersebut.

Dalam pada itu, kata sumber, siasatan itu juga meliputi pemilikan aset berharga yang telah dikenal pasti SPRM yang dimiliki oleh ahli perniagaan dan bekas menteri kanan serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di dalam dan luar negara.

Tambah sumber, SPRM juga telah merakam keterangan kira-kira 14 saksi dalam tempoh beberapa minggu lalu berhubung penyiasatan ini termasuk keterangan daripada tokoh perniagaan dan bekas menteri kanan tersebut berkaitan dengan dokumen sulit didedahkan Pandora Papers.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Kata Azam, siasatan tertumpu kepada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001. – nasionalkini.my

The Citizens sah juara EPL

20230513 121424

Kumpulan pertama jemaah haji bertolak ke Tanah Suci