BURNLEY, 12 Ogos – Erling Haaland memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan cemerlang apabila meledak dua gol ketika juara bertahan, Manchester City menewaskan Burnley 3-0.
Rodri melengkapkan kemenangan selepas dua jaringan Haaland di babak pertama untuk memberikan City permulaan sempurna dalam usaha mereka menjadi pasukan pertama memenangi empat gelaran liga tertinggi Inggeris berturut-turut.
Haaland membantu City memenangi treble Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA musim lalu dengan meledak 52 gol pada tahun pertamanya bersama kelab.
Pemain 23 tahun itu hanya memerlukan tiga minit untuk membuka jaringan pada kempen baharu ini dengan menyempurnakan umpanan Rodri di depan gawang, lapor AFP.
Haaland kemudian menambah jaringan sembilan minit sebelum tamat babak pertama. Rodri melengkapkan jaringan ketika permainan berbaki 15 minit.
Kemenangan City bagaimanapun dibayangi dengan kecederaan kapten pasukan, Kevin De Bruyne.
Pemain Belgium itu baru pulih daripada kecederaan hamstring ketika final Liga Juara-Juara dan dia terpaksa dikeluarkan di pertengahan babak pertama.
Pengendali Burnley, Vincent Kompany mempunyai patungnya di luar Stadium Etihad bagi menghargai sumbangannya sebagai pemain bersama City.
Kompany membawa The Clarets kembali ke Liga Perdana Inggeris pada musim pertamanya bersama kelab itu.- nasionalkini.my