MANCHESTER, 6 Ogos – Kelab Manchester City mengintai peluang mendapatkan khidmat pemain sayap Brighton & Hove Albion, Kaoru Mitoma sebagai pengganti Riyad Mahrez.
Pemain Algeria yang bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak lima tahun lalu itu menyertai kelab Arab Saudi, Al-Ahli awal bulan ini.
Selain Mitoma, juara treble itu juga meletakkan pemain Crystal Palace, Michael Olise dan pemain sayap Rennes, Jeremy Doku sebagai calon mengisi posisi berkenaan.
Jurulatih City, Pep Guardiola sedia menimbang kemasukan ketiga pemain itu, namun pemain Jepun menjadi pilihan terbaik dan kontraknya bersama Brighton masih berbaki dua tahun, lapor Agensi.
Pemain berusia 26 tahun itu beraksi cemerlang dalam kancah EPL musim lalu apabila meledak tujuh gol dalam 24 perlawanan.
Mitoma menyertai Brighton pada 2021 sebelum dipinjamkan semusim ke kelab Belgium, Union St Gilloise.
Dia juga menjadi antara tonggak Jepun ketika Piala Dunia Qatar, membantu Seagulls layak ke saingan Eropah di bawah kendalian Roberto De Zerbi.
Brighton tidak mahu terlepas pemain utama lagi, selepas kehilangan pemain tengah, Alexis Mac Allister yang menyertai Liverpool dan penjaga gol, Robert Sanchez berhijrah ke Chelsea.
Mereka juga menolak tiga bidaan dari Chelsea untuk mendapatkan pemain tengah, Moises Caicedo.- nasionalkini.my